Adakah Semut Boleh Merosakkan Pokok atau Buah Tin?

Setelah membelek-belek buah Tin yang baru berputik sedikit masa dulu, teman menyedari bahawa ada terdapat barisan semut yang berulang-alik silih berganti mengunjungi salah satu buah Tin yang masih menghijau.

Barisan semut yang sangat halus ini juga turut bertali arus mengunjungi batang dan buah-buah lain yang terdapat pada ranting Pokok Tin di bahagian atasnya.

Persoalannya, adakah semut-semut tersebut akan mengakibatkan kerosakkan kepada buah atau pokok Tin dan perlu dihapuskan dengan segera?

Serangat Semut Terhadap Buah dan Pokok Tin
Semut halus yang mengerumuni Buah Tin
Setelah diamati betul-betul, semut-semut kecil tersebut sebenarnya tidak menganggu buah atau batang pokok Tin yang dilaluinya.

Teman dapati bahawa semut-semut tersebut sedang sibuk dengan tugasan atau rutin mereka iaitu mengunjungi sahabat baik dari spesis 'Sang Koya'.

Serangan Koya Terhadap Pokok
Koya atau Bena
Koya atau juga dikenali sebagai Bena dan dalam bahasa inggerisnya di sebut sebagai Mealybug adalah sejenis serangga perosak kecil yang mempunyai banyak kaki dan boleh bergerak (Koya betina) dan kepak untuk terbang (Koya jantan).

Badan Koya sentiasa ditutupi oleh sejenis kulat berwarna putih. Koya hidup dengan menghisap jus atau cairan daripada buah atau batang pokok Tin atau lain-lain pokok sebagai sumber nutrisinya.

Koya boleh bertindak sebagai vektor kepada berbagai penyakit tumbuhan yang boleh merosakkan pokok. Sekiranya Koya dapat membiak dengan banyak, ianya boleh menyebabkan kerosakkan yang serius kepada tumbuhan serta menyebabkan keguguran daun.

Serangan Koya terhadap Tanaman
Koya atau bena yang belum membiak
Apakah kaitan semut dengan Koya?

Mengikut kajian, Koya atau Bena boleh mengeluarkan cairan madu pada badan mereka yang mana cairan ini sangat digemari oleh semut.

Oleh kerana Koya atau Bena boleh memberi banyak manfaat sebagai sumber makanan yang baik untuk komuniti semut, maka serangga perosak ini akan dilindungi oleh semut-semut berkenaan daripada sebarang serangan musuh pemangsa seperti ladybug dan sebagainya.

Komuniti semut dan koya adalah sering berhubung kait dalam situasi ini kerana, semut memerlukan koya sebagai sumber makanan dan koya memerlukan semut sebagai pelindung mereka untuk hidup serta membiak dengan sempurna.
 
Misal perbandingan situasi ini dengan manusia ialah sebagaimana manusia memelihara lembu atau kambing bagi memastikan bekalanan makanan tidak terputus maka semut-semut juga perlu memelihara koya untuk bekalan makanan mereka.

Yang mana perlu dihapuskan, Koya atau semut?

Jika kita rujuk kepada sumber hadis, Rasulullah s.a.w. pernah menceritakan satu peristiwa berkenaan semut dengan salah seorang Nabi Allah terdahulu.
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah saw. sabdanya: "Seekor semut menggigit seorang Nabi di antara para nabi-nabi, lalu Nabi tersebut menyuruh bakar sarang semut itu, lalu dibakarlah. Kemudian Allah swt. mewahyukan kepadanya, "Hanya seekor semut yang menggigitmu, lalu engkau musnahkan suatu umat yang selalu membaca tasbih." (Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2096)
Berdasarkan pada hadis di atas, maka ada terdapat larangan untuk membunuh koloni semut kerana mereka adalah merupakan salah satu umat yang sentiasa bertasbih.

Oleh yang demikian, masalah sebenarnya bukanlah berpunca daripada kehadiran semut, tetapi serangga perosak yang bernama koya. Kehadiran semut-semut yang terdapat pada pokok adalah sebagai indikator tentang keujudan serangga perosak lain yang berpotensi untuk menyumbang kepada masalah lebih besar.

Serangan Serangga Perosak
Daun dimakan belalang sebelum kehadiran semut
Sekurang-kurangnya semut akan turut membantu memelihara pokok daripada serangan-serangan serangga perosak lain seperti ulat dan belalang.

Teman berpendapat bahawa, cara yang paling terbaik untuk melindungi pokok dan buah Tin daripada mengalami masalah yang lebih teruk adalah dengan memusnahkan koya yang dikategorikan sebagai serangga perosak dan pembawa penyakit.

Kaedah untuk menghapuskan Koya atau Bena

Ada terdapat berbagai kaedah untuk menghapuskan Koya atau Bena ini dan antaranya ialah:-
  • Jika komuniti koya pada sesuatu dahan sudah membiak dengan banyak, cantas dahan yang mengandungi koya tersebut atau tanggalkan koya daripada dahan dengan membuat semburan larutan cuka atau larutan anti-serangga (campuran sabun pencuci pinggan, minyak masak dan air).
  • Elakkan dari terlalu banyak menyiram air dan menabur baja berlebihan. Koya amat suka kepada tumbuhan yang mengandungi kandungan Nitrogen yang tinggi dan membesar secara sederhana.
  • Ada terdapat serangga-serangga lain yang hidup dengan memakan koya seperti Ladybird dewasa dan ulat, Lacewing dan lain-lain serangga yang menyukai koya. Sekiranya ada ianya tidak perlu dihapuskan.
  • Sabun anti serangga yang mengandungi garam pottasium yang boleh memusnahkan kulit koya dan menyebabkan ianya mengalami dehidrasi dan mati dalam masa beberapa jam.
  • Sentiasa bersihkan batang daun dan buah dari Koya agar tidak membiak dengan cepat.
  • Jika masalah semakin teruk, gunakan racun yang tidak merosakkan alam sekitar.
Dalam kes ini kehadiran Koya atau Bena yang terdapat pada pokok Tin teman adalah sangat sedikit dan masih boleh dikawal.

Namun, masalah tersebut telah diselesaikan dengan menggunakan semburan organik anti serangga perosak buatan sendiri bagi membunuh koya-koya yang ada. Semoga tiada lagi masalah selepas ini. In Shaa Allah.
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...